Sunday 12 June 2011

Mengapa seseorang itu perlu menabung?

• Persediaan ketika memerlukan atau sesuatu perbelanjaan di luar jangkaan. Misalnya untuk keperluan kesihatan, kecemasan dan sesuatu yang tidak dijangka.

 • Simpanan hari tua atau apabila bersara. Untuk tujuan itu sejumlah wang yang mencukupi diperlukan 
untuk meneruskan kehidupan dan menyara perbelanjaan keluarga.

•  Tujuan pelaburan atau memulakan perniagaan. Wang tabungan mungkin boleh disimpan di bank, dilaburkan dalam unit saham amanah, pembelian hartanah atau dijadikan modal permulaan untuk menjadi seorang usahawan.

• Keperluan pendidikan anak-anak, melancong, hiburan dan lain-lain.

Sekiranya menyimpan wang di bank, sama ada dalam akaun simpanan dan akaun simpanan tetap, kebiasaannya pulangan adalah di antara 2 peratus hingga 3 peratus. Paling tinggi yang boleh diperoleh ialah 4 peratus. Pulangannya adalah rendah jika dibandingkan dengan pelaburan yang lain. Sekali imbaspulangan yang didapati hanya mampu melindungi wang daripada inflasi yang biasanya dalam lingkungan 2 peratus hingga 4 peratus.


Menabung.


Menabung bermaksud menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang diperoleh. Biasanya jumlah yang dicadangkan ialah 30 peratus daripada jumlah pendapatan. Tabiat ini bertujuan menggalakkan simpanan untuk masa depan mengurangkan sikap suka berhutang dan serta memupuk sikap berjimat cermat di kalangan para pengguna.

Walau banyak mana pun wang yang diperoleh, jika kita tidak merancang kewangan dengan betul, segala wang yang di peroleh akan 'hilang' begitu sahaja. Amat penting untuk kita merancang perbelanjaan harian dan bulanan dan yang paling penting ialah pastikan setiap bulan kita ada menabung wang di dalam akaun simpanan sebagai jaminan masa depan selain untuk kegunaan saat-saat yang tidak diduga.

10 Tips Pengurusan Kewangan.

1. Menerima gaji sepatutnya dan berbelanja kurang daripada pendapatan. 

Peraturan asas ini nampak mudah tetapi hakikatnya sukar untuk dilaksanakan. Anda perlu tahu sama ada anda menerima gaji yang sepatutnya berbanding kepakaran, keupayaan, produktiviti dan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada anda. Menerima gaji rendah daripada yang sepatutnya, walaupun RM1,000 setahun akan memberi kesan yang besar dalam jangka panjang.

Tidak kira berapa gaji anda, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Adalah lebih mudah untuk menyekat perbelanjaan daripada memperoleh pendapatan lebih. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan yang besar pada tabungan.

2. Rancang dan patuhi jadual perbelanjaan (bajet).

Rancang perbelanjaan anda. Anda tidak akan mampu berbelanja dan menyimpan pada masa yang sama tanpa perancangan kewangan yang betul.

3. Lunaskan hutang kad kredit. 



Berterus-terusan mempunyai hutang kad kredit adalah satu kesilapan paling besar. Memang terlalu mudah untuk menggunakan kad kredit tetapi amat payah untuk melunaskan hutang dan akhirnya anda akan terus dibeban hutang yang BESAR!

4. Mencarum dalam pelan persaraan.

Jika syarikat anda menyediakan pelan persaraan, jangan lepaskan peluang untuk mencarum. Jika tiada, pertimbangkan pelan atau skim lain yang disediakan untuk pekerja.

5. Menabung.

Pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya lima peratus ke 10 peratus daripada gaji sebelum menyelesaikan segala bil. Cara paling baik, buat potongan secara automatik untuk akaun yang berbeza.

6. Melabur.

Pastikan anda membuat pelaburan - jika masih ada wang lebih selepas mencarum untuk skim persaraan atau skim simpanan pekerja dan menabung dalam akaun simpanan.

7. Tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja.

Tambah nilai caruman anda pada skim kemudahan yang disediakan untuk pekerja. Ia akan membantu anda mengurangkan pembayaran cukai dan membataskan perbelanjaan yang tidak perlu.

8. Semak liputan insurans. 

Ramai orang membeli insurans dengan bayaran premium yang tinggi tanpa terlebih dulu menyelidik sama ada ia perlu atau tidak. Pastikan anda mempunyai insurans secukupnya tetapi pada masa yang sama tidak membebankan kedudukan kewangan.

9. Kemas kini wasiat. 

Lindungi orang yang disayangi. Pastikan anda membuat wasiat tidak kira berapa sedikit pun harta anda. Kira-kira 70 peratus warga Amerika tidak mempunyai wasiat.

10. Simpan rekod kewangan dengan baik. 

Jika anda tidak menyimpan semua rekod perbelanjaan, anda mungkin terlepas pandang untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk perbelanjaan tertentu.